Entry: Petikan Harian Metro 20 Mac 2006 Monday, March 20, 2006



Kredibiliti AIM dipertikai

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

SIDANG Akhbar Anugerah Industri Muzik kali ke-13 (AIM 13) yang berlangsung di Hotel Concorde baru-baru ini, menjadi panas apabila ada penggiat mempertikai kredibiliti Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (AIMM) dalam menganjurkan proses pencalonan dan penjurian.

Keadaan bertambah hangat apabila artis dari Singapura seperti Ahli Fiqir dan Anita Sarawak turut mendominasi pencalonan yang diumumkan pada hari itu, menyebabkan penggiat industri muzik berasa AIMM tidak bersikap adil kepada penyanyi mahupun pemuzik tempatan.

Selaku Pengerusi AIMM, Aziz Bakar menjelaskan, pihaknya sudah mengamalkan ‘pintu terbuka’ kepada artis luar sejak AIM ke-11 lagi.

“Tujuan kita berbuat demikian hanya satu, supaya penggiat industri muzik tempatan dapat bersaing secara sihat sekali gus mutu karya dihasilkan dapat dipertingkatkan,” katanya

Sebaik saja jawapan itu diberikan, dia sekali lagi ditanya mengapa tidak diwujudkan kategori khas untuk Artis Terbaik Singapura seperti dilakukan pada album penyanyi Indonesia yang diedarkan di sini.

Ada juga yang melihat sekiranya AIMM boleh bersikap terbuka terhadap artis luar mengapa tidak kepada penyanyi tempatan, terutama kepada yang menghasilkan album mini.

Isu album mini yang dibangkitkan kebelakangan ini bukan baru melanda industri muzik tempatan. Malah ia sudah berlaku sebaik kebanyakan bintang Akademi Fantasia musim pertama menghasilkan album solo mereka tiga tahun lalu.

Menurut Aziz, setiap perkara berbangkit membabitkan isu pencalonan artis untuk AIM harus diketengahkan dalam mesyuarat agung yang diadakan setiap dua tahun sekali.

“Bagaimanapun mereka yang mempertikaikan perkara ini tidak pernah tampil ke hadapan. Mereka tidak pernah hadir setiap kali mesyuarat agung dibuat. Apabila perkara ini berlaku ia di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Pihak AIMM turut menjelaskan walaupun album mini tidak dipertandingkan dalam kategori utama seperti Album Terbaik, artis mahupun pemuzik masih layak mempertandingkan karya mereka dalam kategori teknikal.

“Seperti Mawi, syarikatnya banyak menghantar pencalonan dalam beberapa kategori termasuk teknikal iaitu album rakaman langsung Mawi World dan Yang Tercinta. Bagaimanapun lagu dipertandingkan itu tercalon atau tidak, ia di luar bidang kuasa penganjur kerana ia ditentukan juri dipilih,” katanya.

Walaupun sidang akhbar sudah tamat, ramai penyanyi mahu penggiat yang hadir meluahkan kesangsian mereka terhadap proses penjurian selepas melihat senarai lima terbaik album artis yang dicalonkan dalam merebut anugerah AIM Ke-13.

Antaranya dipersoalkan bagaimana album rakaman langsung Siti Nurhaliza di Albert Hall, London menampilkan susunan muzik semula tidak dapat dicalonkan dalam Album Pop Terbaik tetapi Spider Live at Planet Hollywood tercalon dalam Album Pop Rock Terbaik. Penjurian dibuat dilihat tidak seimbang atau telus.

Beberapa album rakaman semula yang layak bertanding dan mendominasi kategori teknikal turut dipertikai dengan alasan kukuh diberikan, muzik ditampilkan bukan komposisi asal.

Jaclyn Victor yang sebelum ini dilihat tidak layak bertanding untuk kategori Artis Harapan di AIM Ke-12 kerana sudah menghasilkan album Inggeris tahun sebelumnya mengejutkan hadirin apabila namanya dipertandingkan dalam Artis Baru Terbaik.

Syarat sebelum ini menetapkan hanya penyanyi muncul dengan album sulung saja boleh menghantar pencalonan untuk kategori itu dan Gemilang pastinya bukan album sulung Jaclyn Victor.

Mereka juga mendakwa AIMM tidak sensitif dengan suasana industri muzik tempatan yang evolusinya semakin hebat berkembang.

Kata mereka jika kategori Irama Malaysia/Etnik boleh dimansuhkan dan diwujudkan pula kategori Hard Rock yang dipecahkan daripada Pop Rock Terbaik, mengapa tidak diperkenalkan kategori Album R&B/Hip Hop terbaik dipecahkan dari Album Pop Terbaik kerana genre muzik itu kini semakin menguasai industri muzik tempatan.

Apapun di malam anugerah AIM Ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada 29 April nanti pastinya ia menjadi milik Jaclyn Victor mahupun Adibah Noor yang mendahului penyanyi lain dalam setiap pencalonan kategori.

Senarai penuh pencalonan

Artis Baru Terbaik
Adibah Noor
Ahli Fiqir
Dina
Jaclyn Victor
Sharifah Zarina

Artis Harapan
Amylea
Felix
Marsha
Premelodic
Ridzuan

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki)
Hazami - Kata
Jamal Abdillah - Aku Penghibur
Mus (May) - Live & Unplugged at Planet 05
Rithan (Deja Voodoo Spells) - I’am What I’am
Shanon - Dilanda Cinta

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita)
Adibah Noor - Terlalu Istimewa
Anita Sarawak - Another Dimension
Dina - Cinta Datang Lagi
Jaclyn Victor - Gemilang
Siti Nurhaliza - Concert Royal Albert Hall, London

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album
Rabbani - Suara Takbir
Raihan - Ameen
Ruffedge - Ruffera
Too Phat - Rebirth Into Reality
VE - For You

Kulit Album Terbaik
Too Phat
Anita Sarawak
Fazley
Amy Mastura
Nitrus

Rakaman Album Terbaik
Another Dimension (Anita Sarawak)
Kasih (Dayang Nurfaizah)
Gemilang (Jaclyn Victor)
The Fall (Lo)
Rebirth Into Reality (Too Phat)

Muzik Video Terbaik
LO - Sleepy Head
Love Me Butch - Hollywood Holiday
Ahli Fiqir - Angguk-Angguk, Geleng-Geleng
Adibah Noor - Terlalu Istimewa
Adam - Tak Tahu

Album Nasyid Terbaik
Raihan - Ameen
Brothers - Brothers Reunited
Far East - Far East
UNIC - Satu Dekad
Rabbani - Suara Takbir

Album Pop Rock Terbaik
Flop Poppy - Cendera Jiwa
Nitrus - Rasa
Awie - Santai
Spider - Spider Live at Planet Hollywood
Zoul - Zoul

Album Hard Rock Terbaik
Barongan - Cakap Terang
May - Live & Unplgged at Planet 05
02 - Radio Tanah Melayu
Jinbara - Suatu Evolusi

Album Pop Terbaik
Jamal Abdillah - Aku Penghibur
Gemilang - Jaclyn Victor
Dayang Nurfaizah - Kasih
Hazami - Kata
Adibah Noor - Terlalu Istimewa

Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik
Deja Voodoo Spells
Mass Raw
Saer Ze

Album Inggeris Tempatan Terbaik
Anita Sarawak - Another Dimension
VE - For You
Pop Shuvit - Here & Now
Too Phat - Rebirth Into Reality
LO - The Fall

Album Indonesia Terbaik
Peterpan - Alexandria
Rossa - Kembali
Radja - Langkah Baru
Padi - Padi
Glen Fredly - Silver

Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu
Ikan di Laut, Asam di Darat (Azlan Abu Hassan - Adibah Noor)
Kata (Azlan Abu Hassan - Hazami)
Di Bawah Pohon Asmara (Alfa Booty - Jaclyn Victor)
Tak Tercapai Akalmu (Alfa Booty & Masrumie Booty - Elyana)
Gemilang (Ramli MS - Jaclyn Victor)

Lagu Terbaik
Ku Seru (Ajai, Habsah Hassan & Shuhaimi Baba, Misha Omar)
Gemilang (Aubrey Suwito, Asmin Mudin, Jaclyn Victor)
Warkah Buat Laila (Ayub Ibrahim, Habsah Hassan, Zahid)
Terlalu Istimewa (Azlan Abu Hassan, Adibah Noor, Adibah Noor)
Aduh Saleha (M.Nasir, Loloq, Mawi)

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments