Entry: Petikan Utusan Malaysia Online 23 Mac Thursday, March 23, 2006



Dalam Negeri

Mawi rakam lagu dengan Rosmah

KUALA LUMPUR 22 Mac - Penyanyi lelaki tempatan paling popular, Mawi akan merakamkan sebuah lagu berjudul Lara Jiwa bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Studio Betarec di sini pada 30 Mac ini.

Lagu duet pertama antara Mawi dan Rosmah itu akan dimuatkan menerusi album kompilasi berjudul Bunga Asmara yang akan dilancarkan pada 5 Mei ini.

Album terbitan TH Master Production Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Maestro Records itu dihasilkan bagi mengisi Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah.

Eksekutif Artis & Repertoire Maestro Records, Othman Mahmood berkata, album itu turut menampilkan lagu-lagu nyanyian Jamal Abdillah, Felix Agus, Nurul dan Iwan.

``Felix (Akademi Fantasia 3) misalnya, akan berduet dengan Toh Puan Bendahara Kedah, Datuk Noor Suzana Abdullah melalui lagu Bunga Asmara.

``Selain Mawi dan Felix, Nurul pula akan berduet dengan Datuk Seri Tengku Anuar Al-Haj menerusi lagu Tentang Cinta,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lara Jiwa merupakan lagu duet terbaru Mawi selepas dia berduet dengan M. Nasir dalam lagu berjudul Lagu Jiwa, Lagu Cinta.

Menurut Othman, album itu juga akan menyelitkan lagu-lagu duet antara artis-artis terbabit dengan beberapa orang kenamaan dari Kedah kecuali Jamal Abdillah yang akan menyanyikan lagu Kau Pergi Demi Pertiwi secara solo.

``Album itu akan menampilkan 15 buah lagu dan ia akan diterbitkan oleh ramai komposer antaranya Freddie Fernandez, Pak Ngah dan Iwan. Bunga Asmara akan diterbitkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan akan berada di pasaran Mei ini,'' ujarnya.


   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments